Faces of Me

Faces of Me

What I say is.....

Jika denyut nadi kita sama, bicara di hati juga serupa. Itu satu tanda pasti, kita mungkin serasi...:)

Bersyukur di atas setiap kejadian yang dicipta Allah...

Bersyukur di atas setiap kejadian yang dicipta Allah...

Wednesday, August 11, 2010

Definisi dan ciri-ciri Al Quran

The Holy Quran Pictures, Images and Photos

Kita semua tahu apa itu Al-Quran. Kita semua baca Al-Quran. Tapi adakah kita betul-betul kenal dengan Al-Quran? Dalam kesempatan kali ini ingin saya kongsikan definisi dan ciri-ciri Al-Quran, dua perkara penting yang saya kira perlu diketahui oleh kaum muslimin dan muslimat.

Definisi Al-Quran

Definisi Al-Quran merangkumi lapan komponen. Al-Quran adalah:
Kalamullah (kata-kata Allah)
Dalam bahasa arab
Bersifat mu'jiz (mukjizat atau ajaib)
Yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w
Melalui perantaraan malaikat Jibril
Disampaikan kepada manusia secara tawatur (mutawatir)
Membacanya adalah ibadah
Bermula dengan surah Al-Fatihah dan berakhir dengan An-Nas
Kenapa definisi Al-Quran ini penting? Sebab dengan mengingati definisi ini akan anda boleh membezakan Al-Quran dengan kitab-kitab yang lain, serta ia membezakan antara Al-Quran dengan hadith-hadith, terutamanya hadith Qudsi. Jika seorang bukan muslim bertanya kepada anda apa itu Al-Quran, jawapan ini adalah yang terbaik untuk menjelaskannya.

Ciri-Ciri Al-Quran

Saya menyenaraikan ciri-cirinya menurut apa yang disebut oleh Dr Ammar Fadzil. Ciri-ciri Al-Quran itu ada tujuh, seperti berikut:

1. Kitab Allah

Ini bererti sumber kitab ini adalah 100% daripada Allah, yang diturunkan melalui perantaraan Jibril kepada Nabi Muhammad s.a.w. Allah ta'ala berfirman: "

Alif Laam Raa, (inilah) satu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci, yang diturunkan dari sisi (Allah) yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui" (Hud: 1)

2. Kitab Yang Terpelihara

Allah ta'ala telah menjamin bahawa Al-Quran akan terpelihara daripada dulu hingga bila-bila, ini termaktub dalam firmanNya:

"Sesungguhnya kami yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya" (Al-Hijr: 9)

Segala isi Al-Quran tidak ada yang berubah sedikitpun dan bebas daripada penyelewengan sejak daripada zaman Rasulullah s.a.w hingga sekarang.

3. Kitab Mukjizat

Mukjizat adalah satu kelebihan yang ada pada para nabi tanpa dapat ditiru oleh sesiapa pun. Al-Quran adalah mukjizat untuk Rasulullah s.a.w dalam ertikata keagungan penulisannya, sekaligus mematahkan hujah para pakar sastera arab yang ramai pada zaman kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Tiada siapa dapat meniru atau menghasilkan sesuatu semisal Al-Quran. Allah ta'ala berfirman:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri". (Al-Israk: 88)

4. Kitab yang Terang dan Jelas (Mubin)

Ini bererti Al-Quran adalah kitab yang mudah difahami untuk diambil pengajaran darinya. Ianya bukan kitab falsafah yang mempunyai ayat-ayat yang sukar difahami. Allah ta'ala berfirman:

Dan sesungguhnya kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?" (Al-Qamar: 17)


Kita dituntut untuk tadabbur dan tafakkur semasa membaca Al-Quran. Perhatikan firman Allah ta'ala:

"Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran ataukah hati mereka terkunci?" (Muhammad: 24).


Hal di atas memang merangkumi ayat-ayat Al-Quran kesemuanya, tetapi konteksnya lebih biasa digunakan dalam menghayati ayat-ayat berbentuk peringatan, cerita atau perintah-perintah yang jelas dan umum.


Sementara dalam konteks mengambil hukum daripada Al-Quran pula, tidaklah setiap orang bebas berfatwa dengan hanya membaca Al-Quran begitu saja. Dalam sesetengah hal terutamanya hal-hal yang baru atau samar-samar; untuk membantu kita agar dapat memahami bagaimana para ulama' mengambil hukum daripada sesuatu ayat, kita memerlukan sekurang-kurangnya kepada teknik-teknik dasar yang merangkumi ilmu mengambil dalil, teknik mengambil hukum (istinbhat) dan memerlukan ilmu tentang dalil-dalil lain yang berkaitan. Saya menyarankan anda cuba menguasai teknik-teknik ini, sekurang-kurangnya secara asas. Ini kerana tidak semua hukum hanya berpandukan kepada satu dalil, banyak sebenarnya yang melibatkan interaksi antara pelbagai dalil. Mempunyai pemahaman seperti ini sesuai dengan firman Allah yang menekankan penggunaan akal fikiran dalam meneliti Al-Quran:

"Ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan kepadamu, penuh dengan berkat supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan sebagai pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai fikiran" (Sad: 29)


Cara paling asas untuk mencari hukum daripada Al-Quran agar kita tidak tersilap, ialah dengan meneliti tafsir ayat tersebut daripada para ulama' mufassirin. Jika anda punyai keinginan yang lebih kuat, silakan pergi mendalami ilmu tafsir dengan guru-guru yang berkelayakan.

5. Kitab Agama (Ad-Din)

Kitab agama bererti Al-Quran adalah sumber kepada ilmu aqidah, ibadah, akhlak, prinsip-prinsip perundangan dan hukum-hakam. Selepas Al-Quran, sumbernya adalah As-Sunnah. Satu konsep interaksi antara kedua-dua sumber Islam ini adalah, Al-Quran lebih menekankan kepada teori dan prinsip, sedangkan As-Sunnah lebih menekankan kepada praktikaliti dan penjelas bagi Al-Quran. Hal ini jelas disebutkan dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada Aishah r.a ketika ditanya tentang akhlak baginda, maka Aishah r.a. menjawab:

"Akhlak Rasulullah s.a.w adalah Al-Quran". (Muslim).

Kita boleh dapati dalam Al-Quran, As-Sunnah yang disebut sebagai Al-Hikmah, biasa diletakkan bersama-sama perkataan Al-kitab (Al-Quran) dalam satu ayat, seperti yang disebut dalam ayat berikut:

"Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah , dan membersihkan (jiwa) mereka, serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) adalah dalam kesesatan yang nyata." (Ali Imran: 164)

6. Kitab Sepanjang Zaman

Ini bermakna perintah dan larangan yang ada dalam Al-Quran hendaklah diamalkan untuk setiap masa dan tempat. Dewasa ini ada usaha-usaha menyeleweng sesetengah golongan yang mengatakan kandungan Al-Quran itu ketinggalan zaman dan perlu diabaikan atau diubahsuai. Kita berlindung kepada Allah daripada golongan sebegini, dan semoga Allah memberi hidayah kepada mereka. Tafsiran ulama' tentang isi Al-Quran dalam hal-hal yang terperinci mungkin boleh berubah jika ditemui dalil beserta hujah lain yang mengatakan sedemikian. Tetapi ayat-ayat dan prinsip-prinsip kefahaman Quran adalah sentiasa relevan untuk setiap keadaan dan tidak mungkin tersilap sama sekali.

7. Kemanusiaan

Ini bererti Al-Quran diturunkan bukan untuk golongan-golongan tertentu sahaja, bahkan ianya meliputi setiap manusia yang ada di muka bumi ini tanpa mengira jantina, bangsa dan usia. Skop unsur kemanusiaan Al-Quran juga meliputi aspek-aspek tanggungjawab manusia sebagai khalifah, penyemaian nilai-nilai tauhid dan memberi panduan tentang aspek kehidupan seseorang manusia secara komprehensif. Al-Quran adalah manual kehidupan yang paling muktamad dan sempurna.


Pengajaran Penting

Al-Quran adalah sebuah kitab yang harus kita dampingi setiap masa dan ketika. Apabila kita menganggap Al-Quran hanya sebagai bahan hantaran perkahwinan, bahan hiasan di dalam almari atau perhiasan dinding, atau hanya dibaca mengikut musim-musim tertentu, dibaca tanpa tajwid dan penghayatan, sedangkan pada masa yang sama kita tidak mengintegrasikan ajaran Al-Quran dalam kehidupan sehari-hari, atau kita masih melakukan dosa dalam kehidupan seharian sekalipun kita membaca Al-Quran; maka sebenarnya kita masih belum mengambil pengajaran daripada Al-Quran. Perhatikan firman Allah ta'ala dalam ayat berikut:

"Inilah Kitab, Kami turunkan kepadamu supaya kamu keluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya dengan izin Rabb (tuhan) mereka, ke jalanNya yang Maha Perkasa dan Maha Terpuji" (Ibrahim:1)

Adakah kita benar-benar beramal dengan Al-Quran? Adakah benar kita mematuhi setiap perintah Allah dan RasulNya? Tepuk dada tanyalah iman.